• No. 46, Jalan Dato Abdul Aziz, Seksyen 14, 46100 Petaling Jaya, Selangor
  • +603 7954 3008
  • No. 46, Jalan 14/29, 46100 Petaling Jaya
  • +603 7954 3008

 

Pada 10 Disember 2022 yang lalu, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) bersama Gagasan Minda Merdeka (GMM), Jawatankuasa Pemantauan Masyarakat Sivil Pilihan Raya Umum ke-15 (Pantau PRU15) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menganjurkan Forum Kepimpinan Politik Wanita Pasca PRU15 “Melangkah Ke Hadapan” bertempat di Tamu Hotel & Suite, Kuala Lumpur.

Forum ini diadakan lanjutan daripada hasil Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan peratus perwakilan wanita dalam Dewan Rakyat menurun daripada 14.9 peratus kepada 13.5 peratus. Selain itu, di peringkat DUN, peratus perwakilan wanita yang menang masih jauh daripada sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita iaitu DUN Pahang (4.8 peratus); DUN Perlis (20 peratus); dan DUN Perak (20.3 peratus). Peratusan anggota wanita dalam Jemaah Menteri sebanyak 17.9 peratus juga tidak mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam pembuatan keputusan. Hasil ini mendukacitakan tatkala terdapat desakan yang padu dan konsisten daripada sayap wanita parti politik, pertubuhan wanita, masyarakat sivil dan pihak Jawatankuasa Pemantauan Masyarakat Sivil Pilihan Raya Umum ke-15 (Pantau PRU15). Parti-parti politik juga telah berjanji untuk meletakkan lebih ramai calon wanita berkelayakan.

Sungguhpun terdapat peningkatan jumlah calon wanita (127) dan kerusi (103) yang bertanding di peringkat Parlimen, namun hanya 23.6 % berjaya dipilih bagi 30 kerusi Parlimen. Jelasnya, masih banyak lagi usaha diperlukan untuk memastikan peluang kepimpinan politik memihak kepada wanita. Faktor-faktor yang menyebabkan kekalahan atau kemenangan perlu dikaji dengan teliti supaya peluang kejayaan calon wanita bertambah cerah dalam piliihan raya umum seterusnya.

Forum ini telah menjadi wadah perkongsian pengalaman 10 calon wanita daripada pelbagai parti tentang cabaran yang dihadapi mereka dalam menempuhi PRU15. Analisis pengamalan mereka telah memberi panduan, pedoman dan motivasi kepada para pemimpin wanita untuk merangka strategi bagi melonjakkan kepimpinan politik wanita di Malaysia pada masa hadapan, khususnya daripada segi keperwakilan dan penglibatan substantif wanita di peringkat membuat dasar dan hala tuju kepimpinan negara.