• No. 46, Jalan Dato Abdul Aziz, Seksyen 14, 46100 Petaling Jaya, Selangor
  • +603 7954 3008
  • No. 46, Jalan 14/29, 46100 Petaling Jaya
  • +603 7954 3008

FORUM KEPIMPINAN WANITA DALAM POLITIK

  • Home
  • Forum Kepimpinan Wanita Dalam Politik

Forum dianjurkan bersama oleh Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Council of Malaysian Women Political Leaders (COMWEL) dan dirasmikan oleh YB Dato Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 5 Oktober 2022 bertempat di Royal Lake Club, Kuala Lumpur.

 

Forum  ini dianjurkan dengan matlamat memahami sistem pemilihan calon oleh parti politik dan menggembeleng suara dan tenaga wanita untuk menyokong desakan dari pemimpin politik wanita dan suara sayap-sayap wanita bagi  merealisasikan dasar sekurang-kurangnya 30% penyertaan wanita diperingkat tinggi di dalam kepimpinan politik. Menjelang Pilihanraya Umum ke 15 (PRU15), kepimpinan politik ini diterjemahkan kepada sekurang-kurangnya 30% calon pilihanraya adalah Wanita.

 

Forum ini juga akan merancang strategi jangkapendek dan panjang bagi peningkatan drastik pencalonan wanita dalam pilihanraya. Ini termasuk mencetuskan gelombang gesaan daripada masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain agar setiap parti politik menjalankan tanggungjawab mereka dalam memastikan minima 30% wanita sebagai calon direalisasikan. Strategi jangkapanjang termasuklah reformasi legislative, seperti yang berlaku kepada penurunan umur mengundi kepada 18 tahun, juga akan direalisasikan.

 

Pihak NCWO, KPWKM dan COMWEL serta seluruh pemegang taruh yang hadir berharap agar forum ini dapat membentuk satu realiti baru di dalam PRU15 kali ini, iaitu menyaksikan parti-parti bertanding mencalonkan  30% calon wanita. Ini merupakan satu tindakan yang dirasakan amat wajar memandangkan  pariti gender dari segi Politik dan Ekonomi berdasarkan Malaysia Gender Gap Index (MGGI) 2021, adalah ketinggalan berbanding pariti yang tercapai bagi Pendidikan dan Kesihatan. Ini bermakna Malaysia menghasilkan wanita yang terpelajar dan sihat, tetapi kejayaan ini tidak diterjemahkan kepada peluang dan penyertaan dalam ekonomi dan kepimpinan politik.

 

Jelas Malaysia tidak menggunakan separuh daripada asetnya untuk memajukan ekonomi dan memperkayakan kepimpinan. Keadaan ini sungguh malang kerana peningkatan penyertaan wanita akan meningkatkan GDP serta menambahbaik proses dan kualiti keputusan politik yang diambil untuk kemajuan negara.

 

Wanita merupakan ahli parti politik dan pengundi majoriti di Malaysia. Malahan wanita merupakan tulang belakang kempen pilihanraya sebagai perayu undi. Jelas nilai dan bakat Wanita tidak diguna secara bijak dan sepenuhnya oleh parti politik kerana hanya sebahagian kecil sahaja dicalonkan untuk dipilih sebagai pemimpin rakyat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

 

Forum ini melibatkan semua ahli wanita di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri. Para pemimpin dan wakil NGOs wanita juga turut hadir termasuk NGOs yang menyokong proses demokrasi, pemerkasaan wanita di dalam politik dan tadbir urus negara yang baik.